11 February 2009

Hakikat Kezaliman

Sepatutnya semakin banyak belajar semakin pandai,semakin lama hidup semakin matang atau semakin banyak berfikir semakin paham,akan tetapi hakikatnya diri aku semakin bodoh, dan semakin menggelabah dan semakin tak reti.Maka terpaksalah aku membelek-belek kelakuan manusia dan binatang mencari-cari makna dan hakikat kebenaran kerana aku sudah tidak mampu menilai dengan baik.Teringatlah aku akan peristiwa sekira-kira dua tahun yang lampau.Ketika itu aku bermenung-menungan di tepi hutan berhampairan kolam ikan di kaki banjaran titiwangsa sana.Sedang melihat kabus tebal menyelubungi hutan banjaran titiwangsa,pandangan aku tiba-tiba terlempar kearah seekor ibu ayam yang sibuk mengais-ngais dan mencakar tanah mencari makanan.Di belakangnya empat ekor anak itik yang masih kecil(sekira-kira baru beberapa minggu menetas)berebut-rebut mengutip makanan.

Lantas terpesonalah hati aku seraya berbisik `Alangkah mulianya hati manusia yang mengeramkan telur itik kepada ibu ayam ini kerana dapat juga si anak itik menumpang kasih setelah kehilangan ibunya semenjak di alam telur lagi`.Akan tetapi sebaik sahaja menghampiri kolam anak-anak itik tersebut terus turun berenang sebagaimana layaknya itik berenang.Lalu tercengang-cenganglah si ibu memerhati dari atas tebing.Apa bila si anak berenang keseberang,demikianlah juga si ibu berpeluh-peluh berlari mengelilingi kolam menunggu di seberang,apabila berpatah haluan si anak itik ke kiri,berlarilah pula si ibu ayam ke kiri.Maka huru haralah aku tengok si ibu ayam cuba menjaga anak-anaknya (yang sebenarnya anak itik) sedangkan bersukarialah si anak itik bergolek-golekkan di permukaan air.Rasa terpesona dihati aku tadi tiba-tiba bertukar kesal ke tahap karipap.Lalu keluarlah hukum kedua dari sanubari aku `Alangkah zalimnya hati manusia yang mengeramkan telur itik kepada ibu ayam ini,selama manakah si ibu akan berlari-lari mengepung si anak kerana bimbangkan keselamatannya? aku sebagai makhluk yang berperasaan dan berakal seharusnya menyelamatkan kerosakkan ini dari terus berlaku.

Maka bingkaslah aku bangun lalu mencari-cari akan budak penjaga kolam tersebut untuk membetulkan keadaan.”eramkan telur ayam kepada ayam dan telur itik kepada itik nescaya tidak akan berlaku lagi kezaliman dari tangan-tangan manusia”,khutbah aku kepada budak penjaga kolam.”Sesungguhnya tuan kolam ini telah mati hatinya kerana tidak memahami bahasa-bahasa alam”,Hukum aku kali yang ketiga untuk pagi yang indah tersebut.Dengan bersopan santun dan penuh berbudi bahasa budak penjaga kolam menjawab,”Tuan..ketahuilah bahawa kolam ini kepunyaan tuan dan tuanlah yang mengarahkan kesemua telur itik yang kami temui di tepi semak kepada ibu ayam tersebut”, aku terkesima. Serentak dengan itu fail-fail lama terbuka.Tanpa catatan haribulan yang pasti atau tarikh yang tertentu namun kisahnya amat jelas untuk aku baca dan imbas semula.Empat biji telur ayam hutan yang aku eramkan kepada itik juga mempersembahkan hakikat yang serupa.saban hari aku menziarah telur-telur tersebut dan menanti-nanti saat ia menetas.Cuma terlepas pandang seketika aku tiba-tiba ternampak empat ekor anak ayam hutan yang baru menetas berlari melintasi pagar dan terus masuk kehutan meninggalkan ibu itik yang masih mengeram...dan hari ini pada beberapa tahun kemudiannya aku melakukan lagi kesilapan yang serupa.Malah terus berulang-ulang dan aku menyedari perkara itu pada setiap kali ia berlaku.Bermula dari saat itu aku semakin berhati-hati sebelum menghukum sesuatu yang terlihat dengan mata, kerana hukum aku terlalu mudah berubah.

Menyedari hakikat itu aku mencuba methode yang baru demi untuk tidak menghuru-harakan alam sekeliling. aku sudah takut untuk campur tangan sewenang-wenangnya perihal makhluk-makhluk di sekeliling, aku tidak mahu kebodohan jiwa aku akan menambahkan HAL-HAL yg lain kepada makhluk-makhluk yang lain.Tersedar dari alam kestrebenan aku apabila suara keras budak penjaga kolam 1 sedang membebel menegur budak penjaga kolam 2 kerana kegemarannya memelihara burung.Sememangnya aku sedar keliling warung ikan bakar di kolam itu bergantungan sangkar balam dan tekukur.”zalim perbuatan kau ni tau tak,kau tak fikir ke anak bini burung tu tunggu laki dia..tunggu bini dia kat rumah.kau tangkap mak bapak dia..nanti anak-anak burung ni sapa nak jaga?”. Pantas hati aku menjawab,” tuhan”...ahhhh celaka sungguh.cepat saja aku campur hal makhluk lain.Walhal aku sudah banyak kali memperingatkan diri sendiri akan kebodohan aku mentafsir hakikat.Apa yang aku risaukan cuma HAL itu berlaku di depan mata aku sendiri.

Penjaga kolam 2 yang agak berumur dan agak wara` meneruskan khutbahnya tentang perlunya kasih sayang sesama makhluk.Sesekali terhamburlah akan hadisnya yang lengkap bersama matan dan sanadnya sekali serta huraian yang panjang lebar.kepetahannya berbicara memaksa aku memasang telinga menadah ilmu syariat yang sedap telinga aku mendengarnya.`Jangan kita menzalimi sesama makhluk,tidak ada kasih allah bagi orang yang tidak mengasihi`ujarnya lagi sambil mengelap tumpahan teh tarik di hadapan meja aku dengan sehelai tuala basah.Budak penjaga kolam 1 diam membisu sambil terus mengira sisik kaki tekukurnya.Mata aku hanya melihat puluhan ekor semut diatas meja di sapu dengan tuala basah sambil mulutnya terus menghamburkan nasihat-nasihat yang diselang-seli dengan firman dan hadis.Kepala aku semakin serabut-Bagaimana aku akan menerima nasihat orang berilmu yang menegur sedikit kerosakan sedang mereka melakukan kerosakkan yang lebih besar.

3 comments:

Anonymous said...

bile dah bace entry u nie, i rase u nie ade sifat ketulusan inside ur heart...muke je nampak brutal, tapi hakikat tak....

SangKunang said...

satu ketika dahulu, tika aku di perkampungan, banyak kezaliman bagi diriku seorang khalifah di muka bumi yg aku lakukan keatas makhluk2 Allah lain.
seawal usia sehari, kerana terlalu sayang dan kasihkan aku, bonda menjagaku siang malam sehingga terpaksa bondaku membunuh nyamuk2 yg berhinggapan di jasadku. begitu juga dengan lalat2 kerana andai dihinggapinya pada tubuhku, maka banyaklah tahi lalat akan bertempekkan di kulit yg halus mulus.
aku membesar sebagai budak desda pinggiran hutan. anak desa tidak sah jika tidak melastik burung, menangkap pepatung untuk dibakar yg bukanlah untuk disantap. memburu belalang, menangkap semut hitam untuk dilagaka sesama kaum mereka sendiri.
hobiku berubah pabilaku menerjah usia baligh. kasihanku pada mahluk lain yg punya hak untuk hidup lantasku membebaskan terkukur2 jantan dan betina, serindit tua dan muda, merbah gelap dan cerah, kerna ku yakin mereka menderita hidup di sangkaran yg pada hemat pencinta burung mereka harmoni dan bergumbira dihidangkan sekoi dan air free setiap hari.


usia dewasa menerpa,
ahhhhhhhhhhhhh, persetankan semua itu. aku geram pada anai2 yg menceroboh bilikku sehingga runtuh almari bukuku, sehingga longgar ikatan pintuku...
aku pasrah! semuanya aku spray dengan ridsect walaupon aku tau mereka akan kembali dengan bala tentera yg lebih besar.!

Freddie said...

kadang kala sang burung akan berkata, "wahai pendita yg bijaksana, alangkah baiknyer jika aku dijadikan manusia bebas mencorakkan hukum pada yg sedia ada." kadangkala ayam dan itik akan berkata, "wahai sang burung alangkah moleknya jika aku menjadi kamu bole melihat alam dan isi isi nya pada aras yang tinggi." tapi jarang manusia akan berkata, "alangkah baiknyer jika aku jadi ayam atau itik atau burung atau semut hanya mengikut hukum alam yg termaktub.