03 November 2008

You Can Say Anything About Me As You Please,But I Am What I Am And Thats Something That You Can Never Be

Tuk Ngah Sudin tekun melihat Jibam memandikan katak hijaunya di tepi parit depan surau . Perlahan-lahan dia menggosok kening katak tersebut dengan sabut kelapa . `buat apa tu Bam ?` Tegur Bidan Esah sebelum lintang pukang menyelamatkan diri apabila Jibam menghulurkan Katak yang sedang di mandikannya .

Selesai tugasnya pagi itu mereka berjalan beriring-iringan melintasi warung Pak Itam. Tuk Ngah tolong Jibam heret tin susu Jibam yang di ikat bersusun-susun dengan tali rafia kerana tangan Jibam sarat dengan barang-barang lain yang di kutip di belakang rumah Usop Kidung.`wei Jibam `Satu suara meneriak dari dalam warung. Jibam berhenti menoleh .

Dekat meja tepi tiang Usin Singai tersengih sambil menghembus asap rokok daunnya berkepul-kepul keluar dari lubang hidung. Beberapa penunggu setia warung Pak Itam, sudah mula tersenyum-senyum sumbing .Bersedia untuk berhibur dengan dua orang maskot lawak kampung Belulang. `Meh sini aku nak tanya ` gamit Usin Singai selaku pengerusi majlis . `Tanya apa Pak Usin?` Jibam maju selangkah di ikuti Tuk Ngah Sudin yang memegang kemas tali rafia sebagai langkah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Walau apa pun yang terjadi amanah Jibam supaya menjaga keselamatan tin-tin susu ini akan di patuhi . Kalau terpaksa lari Tuk Ngah akan pegang kuat-kuat dan angkat tin tinggi-tinggi supaya tidak tercicir.

`Aku nak tanya kau nih…kau suka main-main ngan katak kan..soalannya..kenapa katak bewarna hijau..?` Seperti biasa riuh rendah gelak ketawa mula bergema dari warung tersebut. `Kalau jawapan kau tak memuaskan hati aku…aku nak kau dengan Tuk Ngah bukak seluar dan lari keliling warung ni lapan kali `. Tersembur lagi gelak ketawa mereka mendengarkan amaran dari Usin Singai. `Katak bewarna hijau kerana sel pigmen nya lah Pak Usin `. Suli dan Limat sudah sampai tahap menepuk-nepuk meja . Bagaikan hendak meleleh air mata tidak tertahan mendengarkan perkataan kelakar yang keluar dari mulut Jibam. ` Tiga jenis sel pigmen yang di panggil chromatophores yang bertindak bersama menjadikan katak tu hijau…Chromatophores tu saling bertindihan dan jenis pertama nama dier Melanophores ada kat paling bawah.Ia mengandungi melanin , satu pigmen yang bewarna cokelat pekat atau itam…atas dia plak sel iridophores.Tetapi Pak Usin sel ni tak mengeluarkan pigmentasi ..tapi ia memantulkan cahaya.Bila cahaya kena kat sel ni..refleksi keperakkan berlaku. Bila cahaya matahari menembusi kulit cermin pada iridophores…ia memantulkan kaler biru.

' Hahahahahahaha…cukup..cukuppp `Usin Singai menekan-nekan perut yang senak kerana dia yang paling kuat sekali ketawa . Terbahak-bahak sampai tak ingat. Entah kenapa lucu sangat perkataan-perkataan yang keluar dari mulut Jibam itu kedengaran di gegendang telinganya.

`Belum abis lagi Pak Usin…cahaya biru tu pulak kemudian mengenai lapisan atas sel pigmen iaitu xanthopores yang lazimnya mengandungi pigmen kekuningan…jadi cahaya yang tertapis pada sel di atas tu lah yang menyebabkan katak bewarna hijau pada pandangan manusia`. Hahahahahahahahahaha…`bergema lagi sorak sorai riang ria di kampung belulang di pagi yang berbahagia itu. `Ini bermakna kalo lapisan xanthophores tu takde…katak akan di lihat bewarna biru`. `Warghhhhhkahahahahaha`…sudah …sudahhhh…aku dah tak tahan dah..hahahahaha` Usin Singai terbahak-bahak ketawa di iringi yang lain-lain.

`Tapi apa Jibam tu cakap memang betul…`Zamiah yang semenjak tadi hanya memasang telinga ketika mereka mempersendakan Jibam tiba-tiba bersuara. Dia mencapai pulut ikan masin yang sudah siap di bungkus , membayar harganya dan terus mencapai tangan Tuk Ngah Sudin. `Jom Abah..Jibam…balik minum dulu..karang dah minum baru pegi bermain balik`.

Tiba-tiba warung Pak Itam jadi sunyi sepi . Mereka tidak berani menyanggah kata Zamiah, satu-satu nya anak dara kampung tersebut yang memegang ijazah pertanian dari Universiti tempatan.

2 comments:

hotcocoa said...

encik, nak bagi komen membina sat:
ko kene buat paragraph la, pitam aku nak baca ni..

:)

Freddie said...

menjunjung perintah...